Pada 9 April 2026, Yayasan Karyawan telah menganjurkan Bengkel Penyediaan Indeks Buku Karya Agung Melayu sebagai usaha mengetengahkan kepentingan pengindeksan serta membantu para ilmuwan, pendidik dan mahasiswa/i menghasilkan indeks yang tersusun dan berkualiti.
Mengindeks sesebuah buku bukan sekadar tugas teknikal, tetapi memerlukan ketekunan, kesabaran dan ketelitian yang tinggi. Seorang pengindeks perlu memahami kandungan buku secara mendalam bagi mengenal pasti topik yang sesuai dijadikan entri indeks, sub-entri, rujukan silang dan nombor halaman yang berkaitan.
Bengkel ini dikendalikan oleh Dr. Roosfa Hashim, Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, yang berkongsi pengalaman beliau dalam dunia penerbitan ilmiah, termasuk di Penerbit Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau turut menekankan kepentingan menghasilkan indeks yang berkualiti dalam penerbitan buku ilmiah.
Para peserta yang terdiri daripada ilmuwan, pendidik, penerbit dan mahasiswa/i menunjukkan komitmen tinggi sepanjang bengkel berlangsung. Selain mempelajari kaedah penyediaan indeks, peserta turut dibimbing menggunakan Microsoft Word secara berperingkat sebelum menghasilkan indeks berdasarkan salinan buku yang bakal diterbitkan oleh Yayasan Karyawan.
Kesungguhan peserta jelas terpancar apabila mereka menyatakan hasrat untuk terus berlatih di rumah. Malah, seorang peserta turut menyatakan keterujaan untuk menghasilkan indeks berdasarkan syair dan pantun karya sendiri.
Semoga bengkel ini dapat melahirkan lebih ramai pengindeks yang berwibawa dan teliti dalam memperkaya mutu karya ilmiah serta buku rujukan. Walaupun kerja pengindeksan sering tidak kelihatan, peranannya amat penting dalam membantu penyelidik dan pembaca menelusuri isi sesebuah buku dengan lebih mudah dan sistematik.