Yayasan Karyawan telah berkunjung ke Pejabat Perdana Menteri Malaysia untuk berjumpa dengan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan hala tuju serta perancangan baharu Yayasan Karyawan dalam usaha memartabatkan Karya Agung Melayu, Karya Agung Dunia Melayu dan Karya Agung Dunia.

Dalam pertemuan tersebut, Perdana Menteri menekankan kepentingan Yayasan Karyawan untuk terus memperkukuh strategi promosi dan memperluaskan akses karya-karya agung kepada masyarakat, termasuk di sekolah dan universiti yang berkaitan. Beliau turut mencadangkan agar usaha tersebut disesuaikan dengan perkembangan teknologi semasa seperti kecerdasan buatan (AI), selain menghidupkan kembali program Hadiah Bahasa dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk sektor korporat.

Pertemuan yang turut melibatkan Pengerusi Yayasan Karyawan, Datuk A. Aziz Deraman serta Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan itu juga membincangkan peranan Yayasan Karyawan dalam memelihara sumber rujukan serta memperluaskan pemilikan karya-karya agung dalam kalangan masyarakat.

Yayasan Karyawan yang bakal menyambut ulang tahun penubuhan ke-30 terus komited dalam usaha mengkaji, menerbitkan dan memperkenalkan khazanah persuratan Melayu serta karya-karya agung dunia dalam bahasa Melayu demi manfaat generasi akan datang.

“Warisan Ilmu, Amanah Peradaban.”