Pertandingan Akhir Bercerita Karya Agung Melayu Peringkat IPTA/IPTS 2026
Yayasan Karyawan sekali lagi menganjurkan Pertandingan Bercerita Karya Agung Melayu Kategori IPTA/IPTS bersempena dengan Program Memupuk Pembacaan Karya Agung Melayu. Penganjuran kali kedua ini bertujuan menggilap kreativiti serta bakat pelajar institusi pengajian tinggi dalam menghayati dan menyampaikan karya agung Melayu melalui medium penceritaan yang kreatif.
Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) ini memanfaatkan platform media sosial sebagai medium penyertaan peringkat saringan. Pendekatan digital tersebut berjaya menarik minat generasi muda untuk mengangkat nilai dan khazanah warisan bangsa melalui penghasilan video kreatif berasaskan karya agung Melayu.
Kemuncak pertandingan berlangsung di Pentas Utama, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026. Majlis telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan, YBhg. Dr. Hashim Ismail, dan turut dihadiri oleh wakil-wakil institusi berkaitan industri buku serta sastera negara. Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Dr. Roosfa Hashim, menegaskan bahawa karya agung Melayu merupakan khazanah bangsa yang sarat dengan nilai adab, hikmah dan pandangan hidup yang relevan sepanjang zaman.
Seramai 10 finalis daripada pelbagai IPTA dan IPTS telah mempersembahkan penceritaan yang menarik dengan penguasaan bahasa baku, kreativiti persembahan serta busana yang menepati watak cerita. Persembahan para peserta berjaya memukau ratusan pengunjung yang hadir.
Johan Pertandingan Bercerita Karya Agung Melayu 2026 disandang oleh Mohammad Syafiq bin Julasli (Universiti Malaysia Kelantan) menerusi kisah Pak Kaduk. Tempat kedua dimenangi oleh Sufea Aishah binti Ab Halim (Universiti Putra Malaysia) dengan cerita Hikayat Pelanduk Jenaka, manakala tempat ketiga menjadi milik Nursyaqilah Adawiyah binti Suhardi (Universiti Putra Malaysia) melalui kisah Lebai Malang.
Bagi anugerah khas, Nursyaqilah Adawiyah binti Suhardi dinobatkan sebagai pemenang Busana Terbaik, manakala Muhammad Aiman Farhan bin Mohd Suhaizat (IPG Kampus Ipoh) memenangi kategori Video Tanda Suka (Like) Terbanyak. Pertandingan ini membuktikan bahawa karya agung Melayu terus relevan dan mampu menarik minat generasi muda melalui pendekatan yang kreatif dan inovatif.
“Warisan Ilmu, Amanah Peradaban.”