Bengkel Penyuntingan Manuskrip Karya Agung Melayu 2026

Yayasan Karyawan terus memperkukuh usaha memartabatkan khazanah manuskrip Melayu dengan menganjurkan beberapa bengkel sebagai ruang pendedahan dan latihan kepada mereka yang tekun mendalami dunia manuskrip Melayu.

Manuskrip Melayu merupakan khazanah lama yang ditulis tangan dalam tulisan Jawi dan mengandungi pelbagai ilmu seperti sastera, sejarah, agama dan perubatan. Proses mentransliterasi dan menghasilkan buku daripada manuskrip ini bukan sekadar memindahkan aksara, tetapi memerlukan ketelitian bagi mengekalkan makna asal agar mudah difahami oleh pembaca masa kini.

Sehubungan itu, Yayasan Karyawan telah menganjurkan Bengkel Penyuntingan Manuskrip Karya Agung Melayu pada 8 April 2026 sebagai kesinambungan kepada bengkel transliterasi tahap satu dan kedua. Peserta dibimbing melalui perbincangan berkaitan penyuntingan umum dan khusus dalam konteks karya agung Melayu, selain terlibat secara langsung dalam kerja-kerja menyunting teks karya agung Melayu yang bakal diterbitkan oleh Yayasan Karyawan.

Peserta turut mempelajari kaedah dan etika penyuntingan manuskrip Melayu, termasuk penyuntingan rujukan, glosari dan nota kaki yang menjadi pelengkap dalam penerbitan buku ilmiah. Bengkel ini memperlihatkan bahawa penyuntingan teks klasik memerlukan ketelitian, kefahaman terhadap bahasa lama, konteks sejarah serta tanggungjawab editorial yang tinggi.

Bengkel ini diserikan dengan penyertaan 20 peserta yang terdiri daripada pensyarah, penulis bebas, pegawai pencen Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), penggiat dunia buku seperti Taman Pustaka dan Khazanah Fathaniyah, wakil institusi penterjemahan seperti Institut Terjemahan dan Buku Malaysia dan Qs Translation & Communication, serta mahasiswa/i. Kehadiran mereka menyemarakkan suasana perbincangan dan perkongsian idea sepanjang bengkel berlangsung.

Tuntasnya, penyuntingan manuskrip karya agung Melayu bukan sekadar memindahkan kata demi kata, tetapi memerlukan ketelitian, kesabaran dan ilmu yang luas. Diharapkan bengkel ini dapat melahirkan lebih ramai penyunting yang mampu menjadi jambatan antara khazanah dunia lama dengan pembaca moden.

Sesi Penyampaian Hadiah Pertandingan Mencipta Logo 30 Tahun Yayasan Karyawan

Di sebalik kesibukan program, Yayasan Karyawan tidak melupakan penghargaan terhadap wira seni yang mencipta logo 30 Tahun Yayasan Karyawan. Penyampaian hadiah dimulakan dengan tempat ketiga, Encik Madeni bin Minwari, diikuti tempat kedua, Encik Alif Imran bin Ayob. Kemuncaknya, Encik Muhammad Azid bin Abdul Latiff dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama. Setiap pemenang menerima cek tunai dan sijil penghargaan sebagai tanda pengiktirafan atas kreativiti dan usaha mereka.

Dalam suasana penuh semangat, pegawai editorial Yayasan Karyawan turut menemu bual Encik Azid bagi merungkai inspirasi di sebalik rekaan logo yang berjaya mencuri perhatian Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan. Menurut beliau, tiga konsep berpendekatan kontemporari dihasilkan dengan menampilkan keseimbangan antara unsur klasik dan moden.

Penciptaan logo ini menuntut kemahiran serta minat mendalam dalam bidang reka bentuk. Sebagai graduan UiTM dalam bidang reka bentuk korporat, pengalaman Encik Azid yang sering memenangi pertandingan reka bentuk, termasuk kira-kira 60 kemenangan tempat pertama, banyak membantu dalam penghasilan logo komemoratif yang bermakna.

Logo tersebut dihasilkan menggunakan Adobe Illustrator dengan penekanan terhadap elemen mudah, menarik dan mempunyai identiti tersendiri. Elemen riben beralun melambangkan perjalanan, evolusi dan pengalaman Yayasan Karyawan sepanjang 30 tahun penubuhannya, manakala logo asal Yayasan Karyawan dikekalkan sebagai simbol kesinambungan sejarah dan identiti institusi.

Selain itu, angka “30” disisipkan dengan imej buku yang menjadi teras perjuangan Yayasan Karyawan dalam usaha pengkajian dan penerbitan karya agung Melayu, karya agung dunia dan karya agung dunia Melayu. Penggunaan warna merah pekat mengekalkan identiti asal Yayasan, sementara warna kuning keemasan melambangkan kejayaan serta kematangan pengalaman yang dicapai sepanjang tiga dekad penubuhannya.


“Warisan Ilmu, Amanah Peradaban.”