Yayasan Karyawan akan menyertai program Minggu Perpaduan 2026 yang akan berlangsung pada 15 hingga 17 Mei 2026 di Muzium Negara. Program tahunan ini bertujuan memperluas pengetahuan, kefahaman dan penghayatan masyarakat terhadap nilai perpaduan sebagai asas keharmonian negara.
Penyertaan Yayasan Karyawan dalam program ini adalah selaras dengan usaha berterusan organisasi dalam mendekatkan masyarakat kepada ilmu, budaya dan warisan Melayu, di samping menyokong agenda perpaduan nasional melalui pendekatan pendidikan yang kreatif dan interaktif.
Sepanjang tiga hari penganjuran, Yayasan Karyawan akan mengetengahkan pelbagai aktiviti menarik di reruai pameran yang direka khas untuk menarik minat pengunjung daripada pelbagai lapisan umur. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja bersifat hiburan, malah turut membawa elemen pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna.
Antara aktiviti yang akan dijalankan termasuk teka silang kata interaktif, susun kata kreatif, roda impian (cabutan bertuah), cari perkataan (word hunt), serta sesi belajar dan membaca Jawi. Kesemua aktiviti ini dirangka bagi menggalakkan penglibatan aktif pengunjung dalam suasana santai sambil memperkukuh pemahaman terhadap bahasa, budaya dan warisan ilmu.
Melalui penyertaan dalam Minggu Perpaduan 2026 ini, Yayasan Karyawan berharap dapat menyumbang kepada usaha memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk, di samping terus memartabatkan khazanah ilmu dan sastera Melayu sebagai sebahagian daripada identiti nasional yang perlu dipelihara bersama.