Yayasan Karyawan bakal menyertai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 yang akan berlangsung dari 29 Mei hingga 7 Jun 2026. Penyertaan ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Yayasan Karyawan dalam memperkasakan budaya ilmu, memupuk minat membaca serta memperkenalkan khazanah persuratan Melayu kepada masyarakat secara lebih meluas.

Sebagai antara acara buku terbesar di negara ini, PBAKL 2026 dijangka menghimpunkan pelbagai penerbit, institusi pendidikan, penulis serta pencinta buku dari seluruh negara. Penyertaan Yayasan Karyawan dalam pesta buku ini akan menjadi platform penting untuk mengetengahkan pelbagai terbitan ilmiah dan karya warisan yang menjadi identiti penerbitan Yayasan Karyawan.

Sepanjang penganjuran program, Yayasan Karyawan akan menampilkan pelbagai judul terbitan termasuk siri Karya Agung Melayu, buku sejarah, budaya, pemikiran dan kesusasteraan yang sesuai dijadikan bahan rujukan akademik mahupun bacaan umum.

Bagi memeriahkan suasana di reruai, Yayasan Karyawan turut akan menganjurkan beberapa aktiviti interaktif dan mesra pengunjung. Antara aktiviti yang bakal dijalankan termasuk teka silang kata interaktif, susun kata kreatif, roda impian (cabutan bertuah), cari perkataan (word hunt), serta sesi belajar dan membaca Jawi.

Aktiviti-aktiviti ini dirancang bagi memberi pengalaman yang lebih menarik kepada pengunjung, khususnya golongan kanak-kanak dan remaja, selain membantu memperkenalkan warisan bahasa dan sastera Melayu melalui pendekatan yang lebih santai dan menyeronokkan.

Melalui penyertaan dalam PBAKL 2026, Yayasan Karyawan berharap dapat terus memainkan peranan dalam memartabatkan budaya membaca dan menghargai khazanah ilmu serta persuratan Melayu dalam kalangan masyarakat pelbagai generasi.

 

“Warisan Ilmu, Amanah Peradaban.”