Yayasan Karyawan telah menyertai program Kota Baca 2026 yang berlangsung pada 24 hingga 26 April 2026 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Penyertaan ini merupakan antara usaha berterusan Yayasan Karyawan dalam memperkukuhkan budaya membaca serta memperkenalkan khazanah persuratan Melayu kepada masyarakat melalui pendekatan yang lebih santai, interaktif dan mesra pengunjung.

Sepanjang program berlangsung, reruai Yayasan Karyawan telah menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada pelbagai lapisan pengunjung. Pelbagai aktiviti menarik dan interaktif telah dianjurkan bagi menghidupkan suasana serta menarik minat orang ramai terhadap dunia buku dan sastera Melayu.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk teka silang kata interaktif, susun kata kreatif, roda impian (cabutan bertuah), cari perkataan (word hunt) serta sesi belajar dan membaca jawi. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja memberi hiburan kepada pengunjung, malah turut menjadi medium pendidikan yang membantu memperkenalkan warisan bahasa dan kesusasteraan Melayu kepada generasi muda.

Kemuncak program Yayasan Karyawan ialah penganjuran Pertandingan Tukang Cerita Karya Agung Melayu yang berlangsung pada 26 April 2026 di hadapan reruai Yayasan Karyawan. Pertandingan tersebut telah disertai oleh lima orang peserta yang mempersembahkan cerita berinspirasikan karya agung Melayu dengan penuh kreativiti dan penghayatan.

Pertandingan Tukang Cerita Karya Agung Melayu 2026

Johan pertandingan telah dimenangi oleh Ainun Nasibah Johar menerusi persembahan bertajuk “Burung Garuda dan Dua Anak Raja” yang diadaptasi daripada Hikayat Merong Mahawangsa. Beliau membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta sijil penyertaan, selain turut menerima anugerah Busana Terbaik yang melayakkannya memperoleh tambahan hadiah wang tunai sebanyak RM200.

Tempat kedua pula disandang oleh Nurul Fatihah Mohamad Ariff menerusi persembahan “Setia yang Tidak Terbelah” daripada Hikayat Hang Tuah, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Muhammad Ukasyah Irfan Mat Rahimi melalui persembahan “Antara Realiti dan Reformasi” yang diilhamkan daripada Hikayat Abdullah.

Dua hadiah saguhati masing-masing telah diberikan kepada Mohamad Abu Hasan dan Anazlina Mat Jusoh sebagai penghargaan atas penyertaan mereka dalam pertandingan tersebut.

Hadiah-hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Dr. Roosfa Hashim. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa penganjuran pertandingan seperti ini bertujuan mendekatkan masyarakat dengan khazanah sastera klasik di samping menyemai minat terhadap karya agung Melayu dalam kalangan generasi muda.

Melalui penyertaan dalam Kota Baca 2026, Yayasan Karyawan berharap usaha memartabatkan budaya ilmu, pembacaan dan warisan persuratan Melayu dapat terus diperkasakan serta dihargai oleh masyarakat secara lebih meluas.


“Warisan Ilmu, Amanah Peradaban.”