Pertandingan Akhir Bicara Berirama Karya Agung Melayu Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2026
Buat pertama kalinya, Yayasan Karyawan menganjurkan Pertandingan Bicara Berirama Karya Agung Melayu Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan bersempena Program Memupuk Pembacaan Karya Agung Melayu 2026.
Pertandingan ini menampilkan keunikan persembahan berkumpulan yang menggabungkan unsur puisi dan prosa dalam bentuk paduan suara yang harmoni, tersusun dan sistematik. Pendekatan ini memberi ruang kepada pelajar sekolah menengah untuk menghayati khazanah karya agung Melayu dengan lebih mendalam, di samping menonjolkan bakat dan kreativiti mereka dalam menyampaikan nilai, pengajaran serta keindahan karya agung Melayu kepada khalayak.
Penganjuran tahun ini memperkenalkan pertandingan baharu yang lebih segar dan kreatif, iaitu Pertandingan Bercerita Karya Agung Melayu kategori Institut Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) serta Pertandingan Bicara Berirama Karya Agung Melayu Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan. Keseluruhan penyampaian pelajar sekolah turut memfokuskan karya yang dipilih daripada buku Cerita Jenaka Melayu terbitan Yayasan Karyawan.
Pertandingan ini dianjurkan sebagai usaha untuk memupuk, menggalakkan dan meningkatkan penguasaan bahasa Melayu baku dan bahasa Melayu standard yang indah dalam kalangan pelajar sekolah menengah.
Program ini turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Karyawan, YBhg. Dato’ Hj. A. Aziz Deraman; Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan, YBhg. PM Dr. Salmah Jan Noor Muhammad dan YBhg. Dr. Hashim Ismail; serta Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, YBrs. Dr. Roosfa Hashim.
Turut hadir ialah Penasihat Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2026, YBrs. Tuan Haji Mohd Khair Ngadiron; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa; Pensyarah UiTM merangkap juri saringan pertandingan, Prof. Madya Dr. Nasirin Abdillah; serta para pengetua, Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Guru Penolong Kanan Pentadbiran dan guru kanan yang memberikan sokongan kepada pasukan sekolah masing-masing.
Pertandingan ini dihakimi oleh tiga orang juri berpengalaman, iaitu Cik Nurul Syifaarinah Azhar (UPM), YBrs. Dr. Sharil Nizam Sha’ri (UPM) dan diketuai oleh YBrs. Dr. Hamzah Alezender (UKM).
Sebanyak tujuh buah sekolah dari Terengganu, Melaka, Kuala Lumpur, Selangor, Kedah dan Perak berjaya melayakkan diri ke Pusingan Akhir Pertandingan Bicara Berirama Karya Agung Melayu. Sekolah-sekolah tersebut terdiri daripada sekolah menengah (SM), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).
Setiap pasukan menampilkan persembahan yang kreatif dan memikat menerusi gaya penceritaan tersendiri hasil gabungan idea, kerjasama serta komitmen pasukan masing-masing.
Sorotan Pertandingan Keseluruhan
Selepas semua pasukan selesai membuat persembahan, majlis diteruskan dengan ulasan Ketua Juri, YBrs. Dr. Hamzah Alezender. Beliau menyatakan rasa bangga melihat kebangkitan anak-anak muda yang berjaya mempersembahkan simfoni suara yang bertenaga, susunan formasi yang kreatif serta penghayatan mendalam terhadap khazanah sastera Melayu.
Antara kekuatan yang dikenal pasti oleh para juri ialah garapan teks yang berjiwa, pengintegrasian elemen Karya Agung Melayu dengan isu moden tanpa menjejaskan identitinya, kawalan dan keseragaman vokal yang dinamik, serta penggunaan ruang pentas dan pergerakan yang berkesan dalam membantu visualisasi penceritaan.
Para juri turut memberikan maklum balas serta beberapa aspek penambahbaikan yang perlu diberi perhatian bagi memperkukuh mutu persembahan pada masa hadapan.
“Warisan Ilmu, Amanah Peradaban.”